Wednesday, May 28, 2008

Info Kesihatan

Kecederaan panahan petir

SERING kita mendengar berita manusia cedera atau mati akibat dipanah petir. Walaupun kematian akibat panahan petir jarang berlaku, ia merupakan punca kematian akibat cuaca yang paling banyak berlaku selain daripada banjir.

Kecederaan akibat panahan petir berlaku dengan beberapa cara:
1. Panahan secara langsung (Direct Strike), tiga hingga lima peratus.
2. Panahan sentuhan (Contact strike), satu hingga dua peratus (seseorang yang menyentuh sesuatu objek yang terkena panahan petir seperti pokok, tiang bendera, tiang lampu jalan).
3. Serpihan (Side splash), 30 peratus (petir yang terkena pada sesuatu objek dan terpantul atau menyerpih ke bumi).
4. Panahan bumi (Ground Strike), 40 hingga 50 peratus (panahan petir ke permukaan bumi dan bergerak dalam lingkaran bulat dari pusat panahan sejauh 50 hingga 70 meter).
5. Petir bumi (Upward streamer) 20 hingga 25 peratus (semasa petir, caj elektrik bertenaga rendah dari permukaan bumi menjalar naik untuk bersambung dengan petir. Caj elektrik ini boleh mencederakan seseorang bila ia terkena walaupun caj ini belum bersambung dengan petir dari langit).

Kecederaan panah petih
Ianya boleh mengakibatkan kecederaan ringan, kecederaan parah dan juga kematian. Kadar kematian akibat panahan petir adalah antara lapan hingga 10 peratus.
Jantung berhenti berdenyut (cardiac arrest) semasa panahan petir menjadi antara punca utama kematian mangsa.

Kecederaan yang boleh berlaku termasuk:
1. Kecederaan pada jantung – cardiac arrest, arithimia, kerosakan alat bantu denyutan (pacemaker).
2. Kecederaan otak – hilang kesedaran, sawan, sakit kepala, perubahan personaliti, hilang tumpuan, pening, permasaalahan saraf seperti sakit dan kebas.
3. Kecederaan letupan (Blunt injury) – seseorang boleh terpelanting akibat letupan yang berlaku di kawasan panahan petir.
4. Kesan terbakar pada permukaan kulit. Kulit terbakar teruk (Deep burn) jarang berlaku (kurang lima peratus).
5. Kecederaan telinga – gegendang telinga koyak atau berdarah, sakit dan kurang pendengaran, vertigo.
6. Kecederaan mata – masalah penglihatan, katarak.
7. Cedera lain akibat kecederaan letupan - patah tulang, terkehel sendi, patah tulang tengkuk, retak tengkorak, paru-paru terkoyak, kecederaan dalam abdomen.

Risiko terkena panahan petir
Terdapat dua faktor utama yang meningkatkan risiko panahan petir iaitu
1. Ketinggian sesuatu objek dari permukaan bumi
2. Jarak seseorang dari objek yang terkena petir. Petir boleh menjalar antara 30 hingga 50 meter secara bulatan daripada objek yang dipanah

Apakah bentuk bantuan kecemasan yang perlu dilakukan untuk mangsa?
1. Jika ingin membantu, pastikan anda tidak berada dalam keadaan yang berbahaya.
2. Alihkan mangsa dari kawasan bahaya.
3. Jika mangsa tidak bernafas, tentukan sama ada mangsa masih mempunyai nadi. Jika tiada nadi, cuba berikan pertolongan CPR (resusitasi jantung dan paru-paru), sekiranya anda tahu.

4. Mangsa perlu dibawa ke hospital untuk pemeriksaan lebih rapi untuk menentukan tahap kecederaan.

Komplikasi
Disebabkan kecederaan panahan petir boleh mengakibatkan komplikasi tertunda, mangsa perlu mendapatkan rawatan susulan untuk mengelakkan:
* sawan,
* kerosakan otak
* kelumpuhan (paralysis)
* kerosakan mata (katarak)
* kerosakan telinga (hilang pendengaran)
* kesakitan saraf yang kronik

Pencegahan
1. Semasa waktu petir, elakkan daripada berada di kawasan luar atau kawasan terbuka.
2. Jangan berlindung di kawasan tinggi dan bawah objek yang tinggi seperti pokok atau pondok di atas bukit.
3. Jangan memegang atau membawa objek besi semasa ribut petir.
4. Jika tiada tempat berlindung duduk mencangkung dan tutup telinga dengan tangan. Jika berkumpulan, pastikan jarak antara kita adalah 15 kaki dan semua duduk mencangkung.
5. Anda boleh berlindung dalam kenderaan seperti kereta, bas dan lori tetapi jangan sentuh bahagian besi kenderaan.
6. Jika dalam bangunan seperti rumah atau pejabat, tutup dan jauhi dari tingkap. Jangan mengguna telefon talian tetap atau alat elektrik, seperti komputer, melainkan jika ada alat pemisah petir (lightning arresster).
7. Tunggu selama 30 minit selepas petir yang terakhir sebelum keluar semula.
8. Petir lazimnya memanah di tempat yang sama sebanyak dua kali.